Komputer merupakan alat elektronik yang menyimpan
maklumat pada cakera atau pita bermagnet, menganalisisnya dan mengeluarkan
maklumat selanjutnya apabila diperlukan. Penggunaan komputer semakin popular di
dunia dewasa ini. Terdapat pelbagai jenis komputer seperti komputer peribadi,
komputer meja, komputer mudah alih, komputer talapak dan sebagainya.
Murid-murid terdedah kepada dunia komputer sejak peringkat sekolah rendah
lagi.
Pendedahan
ini memberikan banyak faedah kepada mereka. Antaranya, murid-murid boleh
meluaskan pengetahuan dan minda mereka melalui penggunaan internet. Murid-murid
dapat mencari maklumat terkini dengan cepat dan mudah. Oleh yang demikian,
dapat membantu murid-murid dalam proses pembelajaran. Secara tidak langsung ini
akan membantu murid-murid meningkatkan prestasi akademik mereka.
Di samping itu, komputer memudahkan tugas
kita. Banyak kerja dan tugasan kini dilakukan dengan bantuan komputer, seperti
kerja-kerja penaipan, pelukisan grafik, dan penyediaan laporan. Komputer
membolehkan kita menyiapkan kerja tersebut dengan mudah dan cepat. Bagi
murid-murid, penggunaan komputer dapat menjimatkan masa dalam pembelajaran dan
pengajaran sama ada di rumah mahupun di dalam kelas.
Penggunaan komputer dalam pengajaran akan dapat
menarik minat murid-murid mengikuti pelajaran. Teknik kapur dan papan hitam
yang digunakan pada hari ini mungkin akan membosankan para murid yang
dibesarkan dalam zaman teknologi maklumat ini. Komputer, dengan konsep
multimedia, iaitu gambar, bunyi dan warna, mampu menarik minat para
pelajar. Sudah pastinya, setiap murid akan berasa seronok dan ingin
melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran secara aktif. Justeru, akan
memudahkan murid memahami sesuatu pelajaran kerana mereka mendapat gambaran yang
tepat tentang sesuatu topik yang dipelajari.
Komputer juga mempunyai program untuk
memperkembang bahasa, contohnya tesaurus. Murid-murid boleh belajar makna
perkataan dan penggunaannya. Justeru, murid-murid akan bijak menyampaikan idea.
Penulisan karangan juga akan menjadi lebih mantap dengan penggunaan kosa kata
yang lebih meluas.
Kesimpulannya, komputer sangat berguna dalam kehidupan pada hari ini. Guru-guru dan juga murid-murid perlu menjadikan komputer sebagai alat teknologi yang berkesan dalam pembelajaran. Ibu bapa wajar menggalakkan anak-anak menggunakan komputer sejak dari kecil lagi agar mereka dapat menggunakan teknologi komputer sebaik-baiknya supaya tidak ketinggalan dalam arus globalisasi masa ini.
bagus lah
ReplyDelete